Orang Kampung Pulo Lega Projek Pembinaan Benteng Diluluskan


LUNDU - Lima keluarga di Kampung Pulo Air dekat sini menarik nafas lega apabila kerajaan akhirnya meluluskan projek pembinaan benteng pengawalan hakisan di kampung berkenaan.

Meskipun hanya membabitkan lima rumah, namun projek ini menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar amat penting bagi lima keluarga ini.

“Saya mendapati bahawa tempat ini amat kritikal buat masa ini dan jika tidak diambil tindakan sekarang ini ia berisiko untuk runtuh ditambah dengan musim tengkujuh yang akan tiba.

“Walaupun hanya melibatkan lima buah keluarga tetapi kita perlu menghalang hakisan daripada terus berlaku kerana jika ia kejadian runtuhan berlaku pada waktu malam ia mungkin akan meragut nyawa dan sebagainya,” katanya selepas lawatan ke tapak projek semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai projek itu ia menelan kos RM180,000 dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan minggu depan oleh kontraktor yang telah dilantik dan perlu siap dalam tempoh lima minggu.

Antara skop kerja projek di bawah pengawasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini ialah pembinaan ‘gabion’ sepanjang 52 meter kali empat lapisan termasuk kerja-kera tanah, cerucuk bakau, lantai konkrit serta satu lapisan ‘gabion mattress’ dan pembersihan sungai sepanjang 100 meter.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong akan melancarkan satu projek besar di daerah ini melibatkan pembinaan benteng dan pengawalan hakisan di sepanjang Sungai Kayan.

Projek besar ini katanya, akan melibatkan lima hingga enam kampung di sepanjang Sungai Kayan di sini dengan anggaran penduduk lebih daripada 1,000 orang.

“Sejak saya berkhidmat di kawasan ini dari 2006, saya mendapati masalah hakisan di Sungai Kayan ini amat kritikal dan banyak projek yang dilaksanakan sebelum ini gagal.

“Jadi saya meminta pihak JPS untuk membuat kerangka projek menggunakan struktur yang jauh lebih tahan bagi menghalang daripada hakisan,” katanya.

Selepas lawatan ke tapak projek semalam, Wan Junaidi turut mengadakan perjumpaan bersama ketua masyarakat dan ketua parti di Rumah Rehat Pejabat Daerah Lundu.

Selain membincangkan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di kawasan itu, perjumpaan tersebut turut menyentuh mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Turut hadir pada lawatan dan perjumpaan itu Pengarah JPS Sarawak Chok Moi Soon, Pegawai Daerah Lundu Hamsein Atar serta yang lain.

Sumber: UB