Penduduk menunjukkan sistem perparitan yang didakwa sempit dan menyebabkan air melimpah selepas hujan. |
ALOR SETAR - Penduduk Tandop di sini, merayu supaya sistem perparitan di kawasan berkenaan dikaji semula bagi menangani masalah limpahan air.
Difahamkan, beberapa kediaman terutamanya di Taman Sri Bagan kerap dinaiki air selepas hujan disebabkan sistem perparitan tidak sistematik.
Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 25 Tandop, Ismail Mohd Salleh, 48, berkata, sistem perparitan dibina beberapa tahun lepas perlu diberi perhatian.
“Dengan situasi semasa, yang mana taman perumahan makin bertambah, sistem perparitan sedia ada dikhuatiri tidak mampu menampung air.
“Apabila air memenuhi sistem perparitan di kawasan ini yang mana saluran air sedia ada tidak tersusun, ia menyebabkan air melimpah ke rumah penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.
Setiausaha JPP Zon 25 Tandop, Mohd Shahbani Mohd Salleh pula berkata, walaupun terdapat saluran air yang membawa air ke sungai namun, ia didakwa sempit dan memburukkan keadaan.
Menurutnya, dianggarkan 3,000 penduduk di beberapa taman perumahan berkemungkinan terjejas jika tiada tindakan segera diambil.
"Penduduk memohon mana-mana pihak berkaitan mengkaji semula sistem perparitan berkenaan supaya sebarang tindakan dapat diambil," katanya.
Sebelum ini, pada Julai lalu, penduduk Taman Sri Bagan meluahkan kebimbangan berkaitan masalah rumah mereka dinaiki air sehingga menjejaskan sambutan Syawal.
Lebih malang, penduduk menanggung kerugian apabila beberapa peralatan rumah mereka seperti almari rosak akibat ditenggelami air.
Sumber: Sinar Harian