Pakatan Harapan Vs Pakatan Rakyat: Mat Sabu Bidas Kenyataan Azmin Ali?

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa setiap pemimpin parti-parti dalam Pakatan Harapan tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak selari dengan semangat kerjasama gabungan pembangkang tersebut.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, perbuatan itu boleh mengeruhkan kerjasama dan suasana dalam Pakatan Harapan yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Jangan ada di antara mana-mana pimpinan Pakatan Harapan yang cuba untuk memberikan talian hayat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Amanah mengulangi komitmen kami akan terus menjaga perinsip kesepakatan dalam Pakatan Harapan demi sebuah menumbangkan UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali baru-baru ini menegaskan kerajaan Selangor tidak mengiktiraf Pakatan Harapan sebagai gabungan parti pembangkang yang mentadbir negeri itu sebaliknya ia masih ditadbir Pakatan Rakyat.

Mohamed Azmin membuat kenyataan itu kerana mahu mempertahankan wakil PAS dalam kerajaan Selangor disebabkan desakan hebat DAP dan Amanah supaya wakil PAS terbabit disingkirkan kerana mereka tidak mewakili Pakatan Harapan.

Mohamad bagaimanapun memuji Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Kongres Nasional Ke-11 parti itu semalam bahawa Pakatan Harapan mesti terus diperkukuhkan.

Menurutnya, Wan Azizah dengan tegas menyebut Pakatan Harapan adalah penyambung kepada penyempurnaan amanah rakyat menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur.

“Beliau juga menyebut bahawa Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah akan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya. -Kedahnews.com