Pandikar Ancam Letak Jawatan Jika Debat 1MDB Diteruskan

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilaporkan memberi kata dua sekiranya debat mengenai isu 1Malaysia Deveopment Berhad (1MDB) diteruskan seperti yang dijadualkan pada Jumaat ini.

Beliau bertegas mengarahkan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk meletak jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum berdebat dengan Presiden 1MDB, Arul Kanda.

Speaker tersebut juga menegaskan jika perdebatan itu masih diteruskan, Arul Kanda tidak boleh lagi menjadi saksi kepada PAC dalam proses siasatan dilakukan jawatankuasa parlimen berkenaan mengenai isu 1MDB.

Arahan itu yang dibaca dalam Dewan Rakyat pada pagi Selasa menyatakan, Pandikar turut menegaskan jika keputusannya tidak dipatuhi, beliau akan meletak jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Perdebatan antara kedua-dua akan menjejaskan siasatan PAC terhadap 1MDB, saya tidak boleh membenarkan perdebatan 1MDB antara Tony dan Arul Kanda kerana siasatan PAC masih berterusan,” kata Pandikar lagi.

Sebelum ini Arul Kanda ketika menyatakan kesediaan berdebat pada Khamis minggu lalu sudah pun memberi syarat kepada Tony Pua agar meletak jawatan sebagai ahli PAC kerana tidak mahu konflik kepentingan.

Namun Pengerusi DAP Selangor itu menolak syarat berkenaan sehingga memaksa Arul Kanda pada Sabtu minggu lalu kemudian mengumumkan penguguran syarat tersebut agar perdebatan antara mereka dapat diteruskan.

Menurut Pandikar, perbahasan awam mengenai 1MDB bertentangan dengan peraturan Dewan Rakyat (Peraturan Mesyuarat Perkara 85) kerana Tony Pua merupakan ahli PAC manakala Arul sebagai saksi PAC dalam kes 1MDB.


Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat Perkara 85 adalah menyatakan bahawa semua siasatan harus dibentangkan kepada pihak jawatankuasa terlebih dahulu sebelum boleh dibentangkan secara terbuka kepada umum.

“Saya diberitahu laporan siasatan 1MDB oleh PAC akan dibentangkan sebelum sesi kali ini tamat Disember ini, kenapa tidak boleh tunggu? Selepas itu ahli parlimen boleh bahas malah mahu debat selama berhari-hari pun tidak apa,” ujarnya.

Beliau juga memberi syarat sekiranya Tony masih mahu meneruskan debat, pemimpin DAP itu perlu meletakkan jawatan sebagai ahli PAC atau selepas itu tidak dilibatkan lagi dalam sebarang kerja penyiasatan berkaitan 1MDB.

Bagi Arul pula, ahli korporat tersebut juga tidak boleh lagi menjadi saksi kepada kes penyiasatan yang sama sekiranya beliau turut mahu meneruskan perdebatan dengan Tony secara terbuka.

Mekipun dibantah oleh beberapa anggota Parlimen DAP, namun Pandikar tetap dengan keputusannya itu kerana menganggap Dewan Rakyat merupakan kuasa tertinggi di negara ini yang perlu dipatuhi semua pihak.

Jika pihak eksekutif (kerajaan) masih mahu meneruskan debat tanpa mengambil kira syarat yang ditetapkannya sebagai speaker, beliau tidak teragak-agak untuk meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. – Agensi