Parking Punya Pasal, 10 Orang Belasah Peniaga Sampai Parah


GEORGETOWN – Seorang peniaga cedera parah akibat dipukul lebih 10 individu selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dengan beberapa individu berhubung masalah tempat letak kereta di kawasan astaka Desa Mawar, Kampung Melayu, Air Itam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu mangsa yang berusia 40 tahun dikatakan bergaduh selepas keretanya dikatakan telah menghalang sebuah kereta lain untuk masuk ke kawasan astaka berkenaan.

“Menurut rakan mangsa, pertengkaran mulut telah berlaku antara mangsa dengan beberapa lelaki yang menaiki kereta itu dan beberapa minit kemudian sekumpulan lelaki yang terdiri kira-kira 10 orang telah menyerang mangsa dengan parang, kayu, topi keledar dan batu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan kanan dan luka serta lebam di kepala, leher, tangan serta badan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Mior Faridalatrash berkata menurut doktor, lelaki itu kini dalam keadaan stabil tetapi memerlukan pemantauan rapi akibat kehilangan banyak darah.

Katanya usaha mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu sedang giat dijalankan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berdekatan. – BERNAMA