Parti Bharatiya Janaya Tewas TerukDalam Pilihan Raya Di Bihar

AKTIVIS pembangkang meraikan kemenangan parti mereka sebaik keputusan menunjukkan BJP kalah dalam pilihan raya di Bihar, semalam.
New Delhi - Perdana Menteri Narendra Modi semalam kalah teruk dalam pilihan raya penting di negeri ketiga paling ramai penduduk, petanda kemerosotan populariti pemimpin itu.

Kekalahan kedua berturut-turut Modi dalam pilihan raya peringkat negeri mengukuhkan lagi parti pembangkang dan menguatkan lagi penentang dalam partinya sendiri di samping menjejaskan kedudukannya di mata pemimpin asing.

Kekalahan dalam pilihan raya di Bihar semalam mencetuskan kebimbangan dia tidak mungkin dapat mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua.

Kekalahan teruk Parti Bharatiya Janaya (BJP)yang diketuainya di Bihar juga menjejaskan usaha Modi untuk melancarkan pembaharuan ekonomi kerana dia perlu memenangi pilihan raya peringkat negeri sebanyak mungkin dalam masa tiga tahun bagi menguasai Parlimen sepenuhnya.

Dalam pilihan raya paling penting sejak Modi mula berkuasa 18 bulan lalu, BJP tumpas berikutan kempen kontroversi yang memecah-belahkan penduduk India berdasarkan kasta dan agama.

Pakatan anti-Modi yang diketuai Ketua Menteri Bihar Nitish Kumar memenangi 164 daripada 243 kerusi.

Kempen pilihan raya di Bihar, negeri yang dua per tiga penduduknya tidak mempunyai kemudahan elektrik dilangsungkan ketika India berdepan ketegangan selepas beberapa penduduk Islam mati dibunuh pelampau Hindu yang disokong BJB kerana dituduh memakan daging lembu.- Agensi