PAS Amal Politik Kerjasama, Bukan Politik Blok Atau Sekutu


KUALA LUMPUR – “Politik PAS adalah politik kerjasama, bukan politik blok atau sekutu,” tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh.

Tegas beliau, PAS akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak memusuhi Islam selagi ia menguntungkan negara dan mendapat kesejahteraan rakyat.

“Fokus politik PAS adalah membawa penyelesaian Islam kepada negara, bukan berebut kuasa. Mendapat kuasa hanya salah satu jalan untuk memastikan Islam memerintah.

“PAS diasaskan bukan atas budaya bermusuh. Budaya politik PAS juga bukan berlatarkan perbalahan atau permusuhan, selagi mana pihak lain tidak memusuhi Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata demikian bagi membidas penyokong Pakatan Harapan yang sedang menyerang hebat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menyatakan PAS sedia bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Mohd Fuad berkata, apa yang Presiden PAS sedang lakukan itu adalah sebahagian daripada pembentukan budaya politik matang PAS.

Bagaimanapun, katanya, imej baharu PAS yang ditonjolkan Abdul Hadi itu menyebabkan ramai keliru kerana telah terbiasa dengan imej lama.

“Dalam masa pembentukan di tahap awal ini, kita jangan endahkan kata-kata orang yang nak mengata. Presiden PAS mengambil sikap ini, terus melangkah ke hadapan.

“Jika kita istiqamah, orang ramai akan mula nampak cara kita dan akhirnya persepsi orang ramai akan berubah,” katanya.

Beliau turut menegaskan, komen dari pihak yang memusuhi PAS sememangnya sentiasa negatif ke atas parti itu terutamanya media alternatif.

Menurutnya, media alternatif diketahui umum memang memusuhi PAS dan akan sentiasa memutarbelit berita atau memberi berita separuh, tidak menyeluruh untuk menimbulkan persepsi buruk pembaca terhadap PAS.

“Namun jika semua ahli dan penyokong PAS terus meyakini usaha pimpinan PAS, Insya-Allah, PAS akan terus kedepan dalam pentas politik untuk membawa aspirasi melahirkan Malaysia yang sejahtera untuk semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Marilah bersama menyokong usaha Presiden PAS dan sama-sama berdoa agar usaha ini dipermudahkan,” katanya. –Kedahnews.com