PAS Keluar Surat Arahan Panggil Husam "Mengadap" 24 November Ini

Datuk Husam Musa
KUALA LUMPUR – PAS mengeluarkan surat arahan kepada bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa, untuk tampil ke Dewan Harian PAS Pusat pada 24 November ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata Husam perlu memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan yang dibuat beliau kepada umum.

“Sekiranya dia (Husam) rasa Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) adalah pihak berkepentingan, mungkin tanpa kehadiran Presiden, dia boleh bagi keterangan di hadapan Dewan Harian, yang masih ada Timbalan Presiden, Naib Presiden yang tidak terlibat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Takiyuddin berkata Husam boleh tampil dengan membawa bukti untuk memberi penjelasan terperinci kepada Dewan Harian PAS.

“Saya dalam surat itu menyatakan beliau boleh bawa semua bukti, dokumentari dan sebagainya yang dia ada,” katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Kota Baharu menegaskan PAS juga kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana perdebatan ataupun perbincangan isu dalaman parti itu dibawa ke luar terutama melibatkan Husam dengan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali.

“Sebenarnya isu ini isu dalaman PAS berhubung beberapa kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh beberapa bekas pemimpin PAS dan juga pemimpin PAS berkenaan beberapa isu.

“Misalnya, kononnya Presiden PAS telah berusaha pada suatu masa dahulu untuk menggabungkan PAS dan UMNO ..isu di Selangor (dan) sebagainya,” katanya. – BERNAMA