Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa |
KUALA LUMPUR – Pasukan Kelantan atau lebih popular dengan gelaran The Red Warriors (TRW) hanya akan menggunakan jersi rasmi tajaan syarikat Nike untuk musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, persetujuan mengenai perkara tersebut telah pun ditandatangani kedua-dua pihak baru-baru ini.
“Untuk musim 2016, TRW telah menandatangani persetujuan untuk menggunakan jersi dan lain-lain tajaan daripada Nike,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Annuar dalam pada itu turut memaklumkan bahawa barisan skuad TRW yang akan beraksi untuk musim 2016 akan diumumkan secara rasmi pada minggu depan.
TRW sekarang ini sedang bergelut dengan isu kewangan serius bagi memantapkan lagi pasukan tersebut berikutan masalah kekurangan dana yang dialami KAFA.
Ia berikutan langkah tegas pihak kerajaan Kelantan yang tetap menolak permohonan pengurusan KAFA untuk mendapatkan dana sebanyak RM2 juta.
Ini sekali gus menjadikan Kelantan sebagai satu-satunya negeri yang tidak mendapat bantuan kewangan kerajaan negeri untuk program pembangunan skuad bola sepaknya.
Situasi itu menyebabkan pasukan TRW berada dalam situasi sukar pada waktu pasukan-pasukan lain membuat pelaburan besar untuk membentuk pasukan musim hadapan. –Kedahnews.com