PAU 2015 Tertutup Kepada Media Untuk Elak Putar Belit Pihak Tertentu - Ku Nan

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Umno memutuskan Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU 2015) bulan depan akan berlangsung secara tertutup tanpa liputan terbuka kepada media bagi mengelak ia diputarbelitkan oleh pihak tertentu.

Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keputusan itu diambil kerana media, terutama media dalam talian atau portal sering memaparkan berita secara salah dan memutarbelitkan fakta.

Larangan itu juga terpakai kepada media perdana, katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Rabu.

"Sebab separuh daripada kamu (media) ni, media dalam talian suka putar belit, kami tidak mahu berita-berita diputarbelitkan," katanya.

Tengku Adnan berkata pada Perhimpunan Agung nanti, tiada siaran langsung dipancarkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Kita tak benarkan media berlegar merata-rata dan kita pun tidak akan pancarkan apa yang berlaku dalam Dewan Merdeka kepada kamera litar tertutup(CCTV).

"(Hanya) Untuk ucapan dasar, barangkali kami akan benarkan (liputan media)," katanya.

Sebelum ini, hanya beberapa wakil media dibenarkan berada di Dewan Merdeka, venue utama perhimpunan agung manakala perhimpunan perwakilan sayap di dewan berasingan adalah terbuka kepada semua media.

Pada masa yang sama, perjalanan persidangan dan perhimpunan boleh diikuti menerusi CCTV yang diletakkan di pusat media yang disediakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tengku Adnan berkata perkembangan perhimpunan itu akan disampaikan kepada media secara kenyataan bertulis dan sidang media akan diadakan oleh dua Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tiap-tiap hari Naib Presiden Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Hishammuddin akan buat sidang media dan kupas apa yang berlaku dalam perhimpunan agung tu, katanya.

Ditanya mengapa sidang media itu tidak melibatkan seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tengku Adnan berkata mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam memutuskan untuk memberi tanggungjawab tersebut kepada Ahmad Zahid dan Hishammuddin.


"Kita ada dua (hadir sewaktu mesyuarat), seorang lagi (Mohd Shafie) kalau dia balik, kita ajaklah. Sekarang ni kita ada dua saja, sebab semalam dia tak datang, semalam MT dah putuskan dua orang saja," katanya.

Mohd Shafie tidak hadir pada mesyuarat MT semalam.

Mengenai ucapan penggulungan oleh Timbalan Presiden seperti kelaziman pada perhimpunan agung itu, Tengku Adnan berkata ia masih belum diputuskan sama ada akan dilakukan atau tidak.

"Itu kita akan putuskan nanti. Semalam (sewaktu mesyuarat MT) pun kita tak bincangkan," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2015 dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 12 Dis.

Sumber: mStar