ALOR SETAR - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menghidap penyakit kanser tulang kaki dan ketumbuhan pada muka cekal melawan kesakitan demi menduduki peperiksaan penting itu bermula semalam.
Muhammad Amirundin Abdullah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik menghidap kanser tulang kaki kanan tahap empat dan ketumbuhan serius pada muka kanan.
Beliau yang juga anak sulung dari empat beradik itu tetap bersemangat untuk bersama rakan menduduki peperiksaan walaupun masih sakit.
"Sebelum ini ada juga guru minta tangguhkan dulu peperiksaan sehingga rawatan selesai tetapi saya tolak demi memikirkan masa depan.
"Mungkin persediaan saya tidak seperti rakan lain tetapi akan cuba lakukan yang terbaik kerana turut mengikuti kelas sepanjang berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan," katanya kepada media, di sini, semalam.
Amirundin yang tinggal bersama keluarga angkat di Taman Sri Tanjong, Tanjong Bendahara berkata, pembedahan ketumbuhan pada mukanya terpaksa dilakukan Januari tahun hadapan bagi membolehkannya menduduki SPM terlebih dahulu.
Sementara itu, Pembantu Pengurusan Murid SMK Tunku Abdul Malik, Haslinda Ibrahim berkata, pihaknya turut menghantar nota penting kepada Amirundin bagi membolehkannya mengulang kaji dengan mudah supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Menurutnya, mereka sering menghubungi ahli keluarganya bagi mengikuti perkembangan pelajar itu ketika menjalani rawatan di HUSM.
"Kami mahu dia tangguh dan mengambil SPM tahun hadapan tetapi bertegas mahu mendudukinya tahun ini. Memang dia bersemangat untuk ambil peperiksaan walaupun dalam keadaan sakit," katanya.
Beliau berkata, Amirundin adalah pelajar yang aktif dan sering memberi tumpuan ketika guru mengajar dalam kelas.
Amirundin antara 35,524 calon di Kedah yang menduduki peperiksaan SPM di 279 pusat peperiksaan yang bermula semalam dan berakhir 8 Disember hadapan.
Sumber: Sinar Harian