Pembeli Sering Jadi Mangsa, Kerajaan Diminta Pantau Urusan Beli Rumah

Gambar Hiasan
KANGAR – Pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan diminta memantau urusan pembelian rumah oleh orang ramai agar pembeli tidak menjadi mangsa dikenakan penalti bayaran lewat oleh pemaju, kata Pengerusi Skuad Pengguna Parlimen Kangar, Saadiah Habil.

Kelewatan bayaran dibuat oleh pihak yang mengeluarkan pinjaman kepada seseorang pembeli rumah sama ada bank atau bahagian pinjaman perumahan kerajaan, bukan oleh pembeli, katanya.

Bagaimanapun pihak pemaju mengenakan penalti kepada pembeli mengikut jumlah hari kelewatan bayaran berkenaan yang perlu dijelaskan semasa hendak mengambil kunci apabila rumah yang dibeli itu siap pembinaannya.

Beliau berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada para pembeli rumah mengenai penalti yang dikenakan oleh pihak pemaju.

Katanya, adalah tidak adil pembeli rumah dikenakan penalti kerana lewat membayar kepada pemaju mengikut proses peratusan sesebuah rumah disiapkan sedangkan kelewatan dilakukan oleh pihak yang mengeluarkan pinjaman.

“Setiap bulan pihak bank atau mana-mana pihak yang memberi pinjaman kepada pembeli rumah memotong gaji atau menerima bayaran ansuran daripada peminjam, kenapa mereka pula dikenakan bayaran penalti disebabkan pihak peminjam lewat membuat bayaran kepada pemaju,” kata Saadiah.

Menurut beliau ada pembeli yang menjadi mangsa dikenakan penalti itu menemui pihak bank untuk mendapat kepastian kenapa pembayaran lewat dilakukan kepada pemaju.

Katanya, pihak bank memaklumkan bayaran dibuat apabila pihak bank menerima tuntutan bayaran daripada syarikat guaman yang bertanggungjawab dalam urusan perjanjian pembelian sesebuah rumah antara pemaju, pemberi pinjaman dan peminjam.

Apabila ditanya kepada pihak syarikat guaman, mereka memberitahu tuntutan bayaran hanya dibuat apabila menerima surat daripada pemaju yang memaklumkan tahap peratusan siap sesebuah rumah yang dibina.

Saadiah berkata dalam hal ini jelas tidak ada mana-mana pihak yang mahu bertanggungjawab dan akhirnya beban diletakkan kepada pembeli atas alasan lewat bayar sedangkan kelewatan dilakukan oleh pihak lain, bukan oleh pembeli.

“Dengan sebab demikianlah kerajaan melalui agensi-agensi tertentu diminta membuat pemantauan secukupnya supaya pembeli tidak menjadi mangsa dan pemaju pula tidak mengaut untung ‘atas angin’ melalui penalti yang dikenakan kepada pembeli,” kata beliau yang juga pengerusi Kelab Pengguna kawasan Dewan Undangan Negeri Sena. – BERNAMA