Pemuda PAS Jamin Takkan Tunduk Lagi Pada Kehendak DAP

Naib Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS memberi jaminan wakil PAS akan kekal dalam kerajaan Selangor walaupun DAP mendesak Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memecat wakil PAS dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Naib Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin berkata, PAS tidak akan membiarkan DAP menghancurkan kerajaan Selangor sedia ada semata-mata mahu melunaskan dendam parti itu ke atas PAS.

“Adakah DAP ingin menghancurkan kerajaan (Selangor) sedia ada demi melunaskan dendam mereka kepada PAS. PAS tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan dan permintaan untuk keluar dari Kerajaan Selangor dan akan terus menyokong kepimpinan Menteri Besar sekarang.

“PAS kekal dengan pendirian sedia ada untuk terus mempertahankan kerajaan Selangor sehinggalah pilihan raya akan datang,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Khairil Nizam dalam pada itu menyifatkan pemimpin tertentu dalam Pakatan Harapan terutama DAP lebih mementingkan kepentingan politik berbanding kepentingan rakyat.

Juseru, katanya, PAS menggesa Selangor tidak dikorbankan demi memenuhi hasrat pemimpin tertentu yang gagal melihat kepentingan rakyat berbanding dengan kepentingan politik mereka.

Beliau turut memberi peringatan kepada DAP supaya memastikan segala janji parti itu kepada rakyat ditunaikan sebelum pilihan raya akan datang daripada cuba menjatuhkan PAS.

“Dalam kebanyakan perkara, PAS melihat rakyat sudah bosan dengan percaturan untuk meruntuhkan Kerajaan Selangor,” katanya.

Malah, katanya, PAS tidak risau jika pada pilihan raya akan datang perlu bertanding tiga penjuru di kerusi-kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dengan DAP. -Kedahnews.com