MERBOK - Seorang pencari petai yang tersesat kira-kira 18 jam di Bukit Haji Omar, Kampung Belau, Merbok berjaya menemui jalan pulang setelah menyusuri paip air bukit yang menghubungkan sebuah perkampungan kelmarin.
Mangsa, Abdullah Ali, 57, berkata, dia keluar rumah pada jam 3 petang kelmarin seorang diri untuk meninjau dusun petai di kawasan itu yang dikatakan telah mengeluarkan hasil.
Menurutnya, selesai melihat dusun berkenaan, dia berjalan kaki hampir sembilan jam untuk mencari jalan keluar namun, pandangannya hanya ternampak batang pokok tumbang.
“Semua arah yang saya lalui hanya ternampak sisa pokok-pokok tumbang, menyebabkan saya tidak tahu arah mana untuk pulang, sedangkan masa mula-mula masuk, saya ada tebas lalang di kiri kanan sepanjang laluan, namun tidak menjumpainya.
"Biarpun saya sudah berjalan sehingga jam 12 tengah malam saya masih tak jumpa jalan pulang sehingga terlelap di dusun ini. Saya tersedar selepas dengar azan Subuh berkumandang," katanya.
Abdullah yang ditemui di rumahnya dekat Kampung Singkir Badong semalam bagaimanapun bersyukur apabila tindakannya menyusuri paip air bukit membolehkannya menemui jalan keluar.
Isterinya, Che Su Bakar, 55, berkata, suaminya sudah beberapa bulan tidak ke dusun mencari hasil hutan yang dijadikan sumber rezeki sejak tujuh tahun lalu.
“Tetapi, Rabu lalu dia berhajat sangat untuk meninjau petai sebelum dikumpulkan untuk dijual,” katanya.
Abdullah menceritakan pengalamannya yang sesat di hutan Bukit Haji Omar hampir 18 jam sebelum ditemui selamat |
Sehingga jam 8 malam, suami yang ditunggu-tunggu tidak pulang ke rumah menyebabkan anak mereka, Roslan, 38, bersama lima rakan keluar mencarinya tetapi hanya menemui motosikal mangsa yang ditinggalkan kira-kira dua kilometer dari jalan utama.
Akibat gagal menemui mangsa di sekitar dusun petai dan lokasi penemuan motosikalnya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Merbok pada jam 10 malam kelmarin.
Pencarian diteruskan yang turut melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), ahli keluarga, sahabat dan penduduk kampung pada jam 11 malam dan diteruskan sehingga jam 2 pagi.
Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat diteruskan seawal 8 pagi semalam sebelum dimaklumkan mangsa ditemui dalam keadaan keletihan dan kelaparan serta dibawa pulang penduduk kampung ke rumahnya kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin.
Sumber: Sinar Harian