Pendekatan Bekerjasama Dengan UMNO Tepati Tuntutan Syarak - PAS


KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mengakui pendekatan PAS ke atas UMNO sejak kebelakangan ini telah berubah.

Menurut beliau, perubahan itu bertujuan menyatukan umat Islam negara ini bagi mengagalkan cita-cita pihak yang mahu menangguk di air keruh.

“Memang betul ada perubahan pendekatan PAS dengan UMNO. Ia konsisten dengan pendekatan pemimpin tertinggi PAS termasuk Presiden dan Mursyidul Am PAS.

“Pendekatan yang merapatkan umat ini akan menggagalkan anasir yang mahu beroleh keuntungan dengan jalan pecah dan perintah,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Amzad berkata, pendekatan baharu PAS yang lebih terbuka dengan UMNO itu turut memenuhi tuntuan syarak iaitu merapatkan silaturrahim sesama umat Islam.

Menurutnya, perbalahan sesama umat Islam perlu diselesaikan dengan pendekatan konstruktif, bukannya meneruskan dasar destruktif PAS sebelum ini.

“Setiap solat Jumaat kita tidak pernah pun berhalangan solat berjemaah bersama. Perpecahan merugikan semua,” katanya lagi.

Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim
Hubungan baik PAS dan UMNO sejak kebelakangan ini mengundang keresahan Pakatan Harapan yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Situasi itu turut menyebabkan ahli dan penyokong Pakatan Harapan menyerang hebat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan golongan ulama PAS menerusi media sosial bagi menjatuhkan reputasi dan kredibiti mereka. 

Sementara itu, beberapa saki-baki ahli dan pemimpin PAS yang menyokong Amanah namun enggan keluar dari PAS juga dilaporkan sedang giat menyerang parti itu dari dalam untuk menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan Abdul Hadi. –Kedahnews.com