Pengarah Drama Mengaku Hadapi Masalah Mental, Masih Jalani Rawatan

Azma Aizal Yusoof
PENGARAH Azma Aizal Yusoof yang didakwa memukul pelakon Ika Nabella di set penggambaran Dawai Asmara, mengakui dia mempunyai masalah mental dan masih lagi menerima rawatan.

Menurut Azma yang sebelum ini pernah popular menerusi watak ‘Butang’ dalam drama Sinderella, dia tidak malu mendedahkan penyakitnya itu walaupun menyedari persepsi negatif masyarat terhadap golongan sepertinya.

“Saya tak sorok dan tak malu mengaku saya ‘bipolar disorder’. Sehingga kini saya masih dalam proses menjalani rawatan dan saya makan ubat.

“Saya pernah berkongsi tentang penyakit saya ini kepada 200 orang doktor dalam satu seminar sempena kempen berkaitan ‘bipolar disorder’. Saya menceritakan pada mereka pengalaman-pengalaman yang saya lalui daripada saya kecil hingga sekarang.

“Sesetengah masyarakat menganggap orang seperti saya hanya patut duduk dalam rumah saja, dikurung dan sebagainya. Saya tidak salahkan mana-mana pihak jika ada yang beranggapan sebegitu kerana itu adalah stigma dan reaksi mereka terhadap penyakit ini.

“Sejak saya tahu yang saya menghidap penyakit ini, saya sendiri buat kajian. Selain itu, saya mahu tunjukkan pada masyarakat bahawa saya juga mampu bekerja seperti orang lain,” katanya yang dipetik dari Malaysian Digest.

Sementara itu, Azma mengakui kontroversi dia mengasari Ika telah memberi satu pengajaran yang cukup besar dan bermakna dalam hidupnya.

Akibat tindakannya itu juga, Azma telah didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas mengaku bersalah dalam kes tersebut.

Dalam pada itu, Azma berjanji akan lebih berhati-hati dan tidak akan mengulangi tindakan sedemikian kepada mana-mana pihak pada masa akan datang. –Kedahnews.com