Mohammad Hassan Saynudin |
SINGAPURA – Mohammad Hassan Saynudin, seorang pengganas terkenal dari Singapura yang ditahan di Indonesia berhasrat memohon kewarganegaraan Indonesia setelah selesai menjalani hukuman penjaranya.
Akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan pada Rabu, Saynudin atau juga dikenali sebagai Fajar Taslim melalui peguam belanya menyatakan hasrat tinggal di Indonesia setelah hukuman penjaranya berakhir pada 2027.
Memandangkan undang-undang Indonesia pula memang tidak mengizinkan dwikewarganegaraan secara serentak dalam satu masa, maka banduan tersebut dijangka terpaksa perlu akur melepaskan kerakyatan Singapuranya.
Hassan merupakan salah seorang pengikut Mas Selamat Kastari, antara tokoh utama kelompok militan Jemaah Islamiyah (JI) yang diketahui mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas al-Qaeda dan terbaharu ialah IS.
Dia telah dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah pada 2009 lalu setelah terbukti sebagai terlibat aktif dalam kegiatan terorisme termasuk berjaya membunuh seorang mubaligh Kristian terkenal di Indonesia sebelum itu.
Warga Singapura ini juga dikatakan mempersiapkan rancangan jahat untuk mengebom sebuah kafe popular di Bukittinggi, Sumatera Barat yang sering dikunjungi ramai pelancong Barat di bandar terkenal Minangkabau itu.
Hassan bagaimanapun berjaya ditahan polis di Palembang, ibu kota wilayah Sumatera Selatan bersama-sama dengan sembilan lagi rakannya yang lain di dalam sebuah rumah yang dipenuhi bahan peledak berkuasa tinggi.
Dia pada akhir perbicaraan enggan memohon rayuan terhadap hukumannya dengan alasan sistem perundangan Indonesia sebagai warisan sekular penjajah, malah tidak menunjukan reaksi penyesalan atas perbuatan kejamnya.
Jika dia kembali ke Singapura, pengganas berumur 42 ini hampir pasti akan langsung ditahan oleh pemerintah republik pulau kecil itu dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang jauh lebih tegas.
Di bawah undang-undang ‘ketat’ itu yang telah dimansuhkan di Malaysia baru-baru ini, seseorang dianggap berbahaya boleh ditahan oleh pihak berkuasa Singapura tanpa menjalani apa-apa proses perbicaraan mahkamah.
Badan Nasional Pencegahan Terorisme Indonesia mendakwa kumpulan militan IS menggunakan khidmat jaringan penyeludupan manusia serantau bagi membawa masuk ramai pengganas ke negara itu termasuk dari Malaysia. – Agensi