![]() |
Kushairi (kiri) menyerahkan tugas Pengarah Penjara Pokok Sena kepada Faridon sambil disaksikan oleh Ahmad Faudzi. |
POKOK SENA - Penjara Pokok Sena berjaya menjadi pengeluar utama kuih raya selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai pada perayaan tahun ini.
Pemangku Pengarah Penjara Pokok Sena, Timbalan Komisioner Penjara, Faridon Md Saad berkata, selepas pihak penjara akan meningkatkan lagi jualan kuih raya.
Menurutnya, pada tahun ini, pihak penjara berjaya memperoleh RM300,000 hasil jualan 14 jenis kuih yang dihasilkan banduan di sini.
“Permintaan kuih pada hari raya lalu sangat menggalakkan kerana selain orang ramai, pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menempahnya. Kuih yang dihasilkan di sini menepati cita rasa orang ramai serta harganya pula berpatutan.
"Kejayaan ini juga turut dirasai oleh beberapa banduan yang melibatkan diri dalam bengkel pastri," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan dan Penerimaan Tugas Pengarah Penjara Pokok Sena, kelmarin.
Pada majlis itu, seramai 30 banduan terpilih untuk menerima sijil dari Jabatan Pembangunan Kemahiran selepas terbabit dalam beberapa bidang di dalam penjara.
Faridon berkata, diharap dengan adanya sijil itu akan membantu banduan terbabit mencari kerja selepas dibebaskan kelak.
Dalam pada itu, beliau berkata, Penjara Pokok Sena juga akan meneruskan kerjasama dengan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) bagi membantu melahirkan hufaz dalam kalangan banduan di situ.
Katanya, selain memberi kepakaran dan pemulihan kepada banduan, pihaknya juga mahu melahirkan hufaz dalam kalangan mereka.
“Sebelum ini, kami hanya mengadakan pendidikan agama secara sistem sekolah pondok, malah semua penjara di negara ini turut mengikuti sistem itu. Bagaimanapun kini Penjara Pokok Sena memajukannya lagi dengan menggunakan sistem pembelajaran Ulul Albab.
"Melalui sistem pendidikan ini banduan akan melakukan aktiviti mereka pada sebelah pagi dan petangnya pula mereka akan mengikuti hafazan al-Quran selama dua jam dengan bimbingan guru,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini ada dalam kalangan banduan di situ berjaya menjadi johan tahfiz peringkat kebangsaan pada 2014 dan ini menunjukkan mereka mampu menghafaz al-Quran dengan baik serta melahirkan hufaz dari dalam tirai besi ini.
Dalam majlis penyerahan dan penerimaan tugas itu, Faridon yang dahulunya timbalan pengarah memangku jawatan sebagai Pengarah Penjara Pokok Sena selepas Kushairi Manap menamatkan perkhidmatannya selama 28 tahun sebagai Pengarah
Penjara Pokok Sena.
Kushairi mula berkhidmat sebagai pegawai jabatan penjara pada 1987 dan mula bertugas sebagai Pengarah Penjara Pokok Sena pada 2013 lalu.
Majlis penyerahan tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Penjara Kedah, Ahmad Faudzi Awang.
Sumber: Sinar Harian