Pep Guardiola |
LONDON - Pep Guardiola lebih berminat untuk mengendalikan Manchester United apabila tiba masa dia berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut sumber yang rapat dengan pengurus Bayern Munich itu.
Sumber terbaru itu jelas meletakkan United dalam dilema sama ada untuk memikat pengurus yang dua kali menjuarai Liga Juara-Juara itu pada musim panas ini, atau tidak.
Begitupun, paling terkesan pastinya kelab tetangga United, Manchester City yang dilihat paling berminat untuk mendapatkan pengurus kelahiran Sepanyol itu.
Antara tindakan City ialah melantik Ferran Soriano sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Txiki Begiristain sebagai Pengarah Sukan yang kedua-duanya sebelum ini bekerja rapat bersama Guardiola ketika di Barcelona.
Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge menambah spekulasi jodoh Guardiola bersama kelab gergasi Jerman itu tidak akan berpanjangan apabila membuat kenyataan tiada siapapun di dunia ini tidak boleh diganti.
Bayern dikatakan mahu Guardiola menamatkan teka teki mengenai kontrak pengurus itu yang berakhir Jun depan pada penghujung tahun ini.
Kelab itu kemudian akan meneruskan pelan untuk mencari penggantinya andai Guardiola tidak dapat memberikan komitmen.
Laporan media di Sepanyol sebelum ini mendakwa Guardiola sudah bersetuju dengan terma awal untuk ke England.
Ejen kepada Guardiola, Josep Maria Orobit juga berada di London pada Khamis dan Jumaat lalu yang menambah spekulasi pengurus kelahiran 44 tahun itu bersedia untuk berhijrah, musim depan.
Louis van Gaal yang ketika ini menguruskan United memiliki kontrak sehingga 2017. - AGENSI