Keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk mengehadkan pendengaran perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 ke dalam Dewan sahaja merupakan satu langkah yang canggung dan kurang bijak.
Adalah tidak masuk akal UMNO yang telah membuka ruang demokrasi pemilihan begitu besar dari 2000 perwakilan kepada 144 ribu orang perwakilan, hari ini mahu mengurangkan liputan perbahasan Perhimpunan.
Sungguhpun keputusan ini memberi kebaikan kepada pembahas untuk membangkitkan isu-isu sensitif tanpa perlu khuatir diputarbelit oleh media, namun ia juga menjadi satu tamparan hebat kepada imej Presiden UMNO , Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Keputusan ini hanya akan menimbulkan persepsi bahawa Presiden UMNO cuba mengurangkan tekanan dalam parti ke atas dirinya. Ini menimbulkan tanggapan bahawa PAU 2015 akan menjadi medan membelasah Presiden sehinggakan ia terpaksa diadakan secara tertutup.
Percayalah dengan mengadakan persidangan secara terhad ini, ia akan mengakibatkan lebih banyak khabar angin, gosip, fitnah dan adu domba muncul berdasarkan mesej, Whatsapp dan rakaman video “separuh jalan”. Media akan tetap mencari sumber berita. Bukankah lebih baik mereka mendapat berita secara langsung berbanding pihak ketiga yang akan menyebabkan lebih banyak manipulasi?
Pada 1998 dan 1999 keadaan lebih panas tetapi ia tidak menghalang penayangan perbahasan di luar dewan bagi membolehkan ahli UMNO dan majoriti rakyat mengikuti perbahasan sekaligus memahami citra politik parti terbesar dan tertua di Malaysia ini.
Memang benar ada usaha untuk menghasut pembahas menyampaikan isu secara biadap dan bertujuan merosakkan imej Presiden sebagai usaha terakhir mendesak beliau meletak jawatan.
Namun itu bukan alasan untuk mengehadkan liputan media kerana saya percaya pada akhirnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mampu menjawab semua persoalan berbangkit sekaligus menunjukkan sikap kepresidenan beliau yang sebenar.
Sepatutnya, jika mahu diadakan secara tertutup, permintaan harus datang daripada perwakilan dan pembahas bukannya dari atas. Barulah nampak kepentingan mengadakan perhimpunan ini secara tertutup kerana perwakilan mahu membincangkan isu sensitif parti dengan serius.
Pada hemat saya, sesiapa sahaja yang mencadangkan cara ini sebenarnya hanya akan menimbulkan lebih banyak syak wasangka dan kemarahan ahli UMNO kepada Presiden.
Saya khuatir, presiden akan dilihat lemah dan akan dijadikan bahan ketawa masyarakat selepas perhimpunan ini.
Oleh: AB JALIL BACKER/MyKMU.net