Permohanan Pertukaran Guru Dari Sarawak Bermula 1 Januari Depan


KUALA LUMPUR – Permohonan pertukaran guru berasal dari Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung untuk kembali ke negeri itu akan diberi keutamaan berkuat kuasa 1 Jan depan, tanpa mengira tempoh perkhidmatan guru terbabit.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata langkah itu bagi mencapai sasaran 90 peratus guru tempatan di Sarawak dengan memberi keutamaan penempatan guru baharu adalah anak kelahiran negeri itu.

“Keutamaaan itu bagi mendapat mandat untuk menambah jumlah guru dalam kalangan anak tempatan Sarawak kepada 90 peratus yang berkhidmat dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anyi Ngau (BN-Baram) yang ingin tahu langkah kementerian untuk mencapai sasaran 90 peratus guru tempatan di Sarawak serta komposisi kaum minoriti di pedalaman seperti Orang Ulu, Penan dan sebagainya.

Sementara itu, Kamalanathan berkata Institut Perguruan Malaysia (IPGM) telah melaksanakan pengambilan calon guru bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mulai Jun tahun ini dengan memberikan keutamaan dan keistimewaan kepada calon yang layak dari Sabah dan Sarawak.

“Pendekatan khas dari segi syarat akademik kemasukan ke IPGM juga ditukar daripada lima gred cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada hanya enam gred kepujian termasuk lulus Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, khusus kepada calon anak Penan dan anak Orang Asli di pedalaman yang ingin mengikuti PPISMP di IPGM,” katanya. – BERNAMA