Gambar Hiasan |
SEBUAH pesawat komersial Rusia yang membawa sejumlah 217 penumpang dan tujuh anak kapal dilaporkan terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir, pada Sabtu.
Berita kemalangan udara tersebut turut disahkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri Mesir di Kaherah, Sharif Ismail.
Memetik laporan media tempatan, bangkai pesawat malang itu sudah pun dijumpai di kawasan perkampungan al-Kuntillah dan al-Kaseema di bahagian tengah Sinai.
Sekurang-kurangnya 40 buah ambulans telah dikejarkan ke tempat kejadian. Kapal terbang tersebut dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia, Kogalymavia Airlines.
Pihak berkuasa Mesir mendakwa, hampir kesemua mangsa yang sebahagian besarnya merupakan pelancong Rusia termasuk 17 kanak-kanak dikhuatiri terbunuh.
Pesawat jenis Airbus A321 itu dalam perjalanan dari pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir ke St. Petersburg, Rusia sebelum hilang di radar menara trafik udara Cyprus.
Ia terputus hubungan ketika berada pada ketinggian 9,500 meter dari paras laut namun ada laporan mendakwa, pesawat itu mungkin ditembak kumpulan militan Jihadi.
Secara kebetulan, kawasan yang dilalui pesawat berpusat di Siberia itu memang terkenal sebagai zon konflik antara tentera kerajaan Mesir dengan pemberontak sekutu IS.
Penerbangan 9268 itu berlepas pada pukul 03.51 GMT (bersamaan 10.51 pagi waktu Malaysia) sebelum terhempas kira-kira 23 minit kemudian. – AGENSI