Pintu SPAD Sentiasa Terbuka Untuk Pemandu Teksi - Hamid Albar

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Pintu rundingan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan industri teksi sentiasa terbuka dalam menyelesaikan isu-isu semasa yang dibangkitkan tetapi bukannya dengan cara membawa isu berkenaan ke atas jalan raya.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, antara rundingan termasuklah mengkaji semula Pelan Transfomasi Teksi seperti yang dibangkitkan pemandu teksi dalam setiap pertemuan sejak dua tahun lalu.

"Terbaru, kami telah memulakan perbincangan dalam makmal teksi bermula Isnin lalu bersama pihak berkaitan dan saya kira ini adalah cara yang betul untuk menyelesaikan isu, bukannya melalui demonstrasi jalanan” katanya di sini semalam.

Ditanya mengenai perhimpunan pemandu teksi di Padang Merbok yang mendesak rombakan semula SPAD termasuk meminta beliau meletak jawatan, Syed Hamid berkata, desakan itu hanya daripada “kumpulan kecil yang membuat bising.”


“Kalau semua orang dengar kumpulan kecil, nanti semua orang kena letak jawatan dan ini nampaknya sudah menjadi fesyen baru di negara kita di mana orang yang diberi mandat oleh rakyat disuruh letak jawatan disebabkan isu yang boleh diselesaikan secara perbincangan.

"Saya tidak akan meletakkan jawatan atas desakan peserta perhimpunan kerana mempunyai tanggungjawab yang besar kepada rakyat," katanya.

Sumber: myMetro