PKR Rayu Rakyat Tidak Kecoh Isu Nurul Izzah - Jacel Kiram


KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) merayu rakyat Malaysia supaya isu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar mengadakan pertemuan mesra dengan anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III di Filipina tidak diperbesarkan.

Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, Nurul Izzah bertemu dengan Jacel H Kiram kerana anak bekas ketua pengganas yang membunuh ramai anggota polis Malaysia dalam insiden Lahad Datu itu salah seorang pemimpin masyarakat di Filipina yang menyokong pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.

“Beliau berada di Filipina untuk bertemu dengan beberapa pimpinan masyarakat yang mana ramai di antara mereka menyuarakan sokongan kepada Anwar yang dipenjarakan secara tidak adil.

“Malangnya, satu gambar ini (gambar Nurul Izzah dan Jacel memegang poster Bebaskan Anwar) telah digembar-gemburkan menjadi isu yang melampau sedangkan isu sebenarnya adalah berkenaan kebebasan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Anwar dihukum penjara lima tahun selepas didapati bersalah oleh mahkamah telah meliwat bekas pembantunya tetapi DAP dan PKR menuduh hukuman yang dijatuhkan itu bermotifkan politik.

Justeru, Nik Nazmi menuduh Barisan Nasional (BN) sengaja membangkitkan isu pertemuan mesra Nurul Izzah dan Jacel bagi mengalihkan perhatian daripada sokongan yang diterima untuk pembebasan Anwar.

Insiden Lahad Datu pada tahun 2013 menyaksikan ramai anggota keselamatan Malaysia dibunuh oleh pengganas kumpulan bersenjata Sulu.

Tindakan Nurul Izzah mengadakan pertemuan mesra dengan musuh negara itu baru-baru ini, dikecam ramai kerana dianggap satu perbuatan biadap dan tidak menghormati perasaan rakyat Sabah. –Kedahnews.com