Polis Marin Rampas Rokok Seludup, Bot Lebih RM220,000

Seorang anggota Polis Marin Wilayah Dua menunjukkan rokok pelbagai jenama dipercayai seludup yang dirampas dari sebuah bot di perairan Benut, Pontian awal pagi semalam. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU – Sebanyak 19,200 paket rokok pelbagai jenama serta sebuah bot dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan rokok dirampas di perairan Benut, Pontian awal pagi semalam.

Timbalan Komander (PPM) Wilayah 2 Johor Supt Sallehudin Mat Zaman berkata dalam kejadian 3 pagi itu, pihaknya mengesan sebuah bot gentian kaca yang mencurigakan dipercayai sedang melakukan aktiviti penyeludupan.

“Ketika melakukan rondaan, anggota kami terlihat beberapa objek dicampak keluar dari bot tersebut yang disyaki rokok,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata bot berkenaan kemudian menuju ke arah hutan bakau berdekatan sebelum beberapa orang dilihat melarikan diri.

Sallehudin berkata pemeriksaan lanjut ke atas bot itu mendapati beberapa guni berisi rokok yang dipercayai cuba diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

Sallehudin berkata rampasan rokok pelbagai jenama itu bernilai RM180,210.24 termasuk cukai.

“Polis turut merampas bot gentian kaca bersama enjin sangkut bernilai kira-kira RM45,000,” katanya.

Kesemua barang rampasan dibawa ke Markas Polis Marin untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Polis Harta Tidak Dituntut.

Katanya sehingga kini pihaknya mencatat 55 kes rampasan rokok dengan nilai rampasan hampir RM5 juta berbanding 18 kes yang dianggarkan bernilai lebih RM5.5 juta tahun lepas. – BERNAMA