SEORANG lelaki melintas berhampiran bas yang diletupkan di Tunis, lewat Selasa. |
Tunis - Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung di ibu negara susulan serangan pengebom berani mati ke atas bas membawa pengawal presiden yang mengorbankan 13 orang, lewat kelmarin.
Menurut sumber keselamatan di tempat kejadian, kebanyakan pengawal yang berada dalam bas terbabit maut dalam serangan di Tunis itu yang menjadi sasaran keganasan kumpulan militan sejak revolusi 2011.
Setakat ini belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu yang dilaporkan mencederakan 20 orang.
Pengumuman itu dibuat Essebsi menerusi satu siaran televisyen sebaik membatalkan lawatannya ke Switzerland, semalam.
“Akibat tragedi yang menyayat hati ini, saya mengisytiharkan darurat 30 hari di seluruh negara dan perintah berkurung di Tunis bermula 9.00 pagi (waktu tempatan) sehingga 5.00 pagi,” katanya.
Jurucakap presiden Moez Sinaoui yang menggambarkan pengeboman itu sebagai ‘serangan,’ memberitahu AFP bahawa perintah berkurung itu tetap berjalan sehingga diberitahu kelak.
Seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian melihat rangka bas itu terbakar, bersama pihak polis, ambulans dan trak bomba. Ramai yang dilihat menangis.
Seorang kakitangan bank berhampiran berkata, dia mendengar letupan kuat dan melihat bas terbakar.
Brahim Letaief - Pengarah Festival Filem Carthage ke-26 yang sedang berlangsung - terpaksa membatalkan acara pada malam itu, namun diteruskan semalam.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mengutuk serangan terbabit dan menawarkan bantuan dalam siasatan pihak berkuasa Tunisia.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa anggotanya membantu membawa penjenayah yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Tiada serangan pengganas yang mampu menghalang Tunisia dalam usahanya ke arah demokrasi dan pemulihan ekonomi,” katanya. - AFP