Presiden Thein Sein |
Yangon - Presiden Thein Sein semalam berkata, pilihan raya bersejarah yang menyaksikan kemenangan besar diraih parti pembangkang pimpinan Aung San Suu Kyi adalah hasil pembaharuan yang dilaksanakan kerajaannya.
Bekas jeneral itu yang meninggalkan pasukan tentera untuk menguasai kerajaan campuran awam Myanmar lima tahun lalu juga mengulangi ikrar untuk memastikan peralihan kuasa dilakukan secara aman dan lancar.
Berucap di mesyuarat parti politik di Yangon, kemunculan pertamanya di khalayak ramai sejak pilihan raya berkenaaan, Thein Sein berkata: “Keputusan pilihan raya itu adalah hasil proses pembaharuan dan seperti yang kami janjikan, kami berjaya mengadakannya secara adil.
“Jangan bimbang mengenai peralihan kuasa. Kami akan menyerahkannya kepada kerajaan baru.”
Hampir 90 parti politik, sebahagiannya tumpas dalam pilihan raya berkenaan, hadir pada mesyuarat berkenaan.
Parti Liga untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi memenangi 80 peratus kerusi dalam pilihan raya itu.
Thein Sein dan panglima tentera negara itu sebelum ini berkata, mereka akan berbincang dengan Suu Kyi dalam masa terdekat ini untuk berbincang mengenai peralihan kuasa.
Kerajaan baru Myanmar dijangka dibentuk Januari depan, tetapi Suu Kyi berdepan sekatan untuk mengambil alih jawatan presiden kerana perlembagaan negara itu menghalang mereka yang berkahwin dengan rakyat asing atau mempunyai anak warga negara lain memegang jawatan itu. - Agensi