Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man. |
KANGAR – Projek pembangunan Lembah Chuping akan dimulakan dengan mengezon kawasan tersebut di bawah ‘rolling plan’ pertama Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Menurutnya projek itu yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM1.041 bilion akan dilaksanakan mengikut fasa bermula Januari depan.
Katanya dalam fasa pertama kerajaan pusat telah meluluskan sebanyak RM650 juta dan ia dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh RMK-11 pada tahun 2020.
“Saya bersyukur kerana pembangunan Lembah Chuping bakal menjadi kenyataan,” kata Azlan kepada pemberita semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Dewan Warisan di sini, semalam.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM89,300 kepada 623 orang anak yatim, ketua isi rumah dan ibu tunggal yang miskin.
Azlan berharap sumbangan itu dapat membantu penganut agama Hindu membeli barang keperluan bagi menyambut Deepavali pada Selasa depan. – BERNAMA