PU Syed Mohd Bakri Juara Mimbar Pencetus Ummah 2015

JUARA Kemuncak Akhir Mimbar Pencetus Ummah 2015, PU Syed Mohd Bakri Syed Ishak (dua dari kiri) bersama pemenang tempat keempat, PU Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (kiri), pemenang kedua, PU Taha Mohd Omar dan pemenang tempat ketiga, PU Abdul Zaid Abdul (kanan) pada Malam Kemuncak Akhir Mimbar Pencetus Ummah 2015 di Kolej Universiti Islam (KUIS), Bangi. Sumber foto: BH
Sekalung tahniah diucapkan kepada Syed Mohd. Bakri Syed Ishak, 33; yang dinobatkan juara Pencetus Ummah 2015 (PU 2015) musim ketiga dalam pertandingan akhir, dan berlangsung di Dewan Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), malam semalam.

Dengan kemenangan itu, pemuda yang merupakan peserta dari Kuantan, Pahang dan juga seorang guru ini membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Sementara, naib juara dimenangi Taha Mohd. Omar, 28; manakala tempat ketiga dan keempat menjadi milik Abdul Zaid Abdul, 30; dan Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, 25.

Bagi pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat, masing-masing menerima wang tunai RM10,000 serta trofi sumbangan Astro.

Pemenang dinilai berdasarkan peratusan markah sebanyak 70 peratus daripada juri dan markah selebihnya adalah daripada undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Juri yang terlibat adalah Datuk Ustaz Mohd. Kazim Elias, Habsah Omar (Abby Fana) dan juri jemputan terdiri daripada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin serta penceramah bebas, Mohd. Farid Ravi Abdullah.

Rancangan yang diadakan selama tujuh minggu ini disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD. –Kedahnews.com