Rafidah Sokong Kementerian Pendidikan Laksana Kaedah Dwibahasa

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Seluruh rakyat Malaysia semua akan mendapat manfaat daripada sistem pendidikan yang mendidik mereka menjadi fasih berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu, tegas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Rafidah dalam kenyataannya yang menyokong tindakan terbaru Kementerian Pendidikan yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, turut menyatakan tentang kepentingan dua bahasa tersebut bagi masa depan negara yang lebih baik.

"Kita perlu mempunyai pengantara, iaitu bahasa Inggeris dan Melayu. Jika relevan, kita gunakan bahasa Inggeris; jika relevan, kita menggunakan bahasa Melayu.

"Ia bergantung. Jika anda berurusan dengan sains, matematik dan apa-apa yang ada kaitan dengan pendedahan antarabangsa, gunakan bahasa Inggeris.

"Jika anda bercakap mengenai sastera Melayu, tidak apa, gunakan bahasa Melayu. Jadi, ia bergantung kepada subjek ini," katanya ketika ditemui pemberita di ibu negara, semalam.

Selain itu, Rafidah mengaku bahawa beliau menguasai dwibahasa kerana ia dipaksa ke atas dirinya, namun menjelaskan tindakan itu adalah demi kebaikan beliau sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2016 mengumumkan dua lagi inisiatif, iaitu Program Dwibahasa (DLP) dan Highly Immersive Programme (HIP) akan dilaksanakan secara pilihan.

Mahdzir kemudian menjelaskan bahawa dalam cadangan penambahbaikkan di kementeriannya sebelum ini menjelaskan bahawa sebanyak 300 buah sekolah dikenal pasti sebagai projek perintis dengan peruntukan kos RM38.5 juta.

Katanya melalui program berkenaan, sekolah-sekolah akan diberikan pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris untuk pelajar tahun satu dan tahun empat. -Kedahnews.com