Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail |
KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat ke Konsert Diraja sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-72 di Dewan 2020 di sini, malam tadi.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN) yang berlangsung hampir dua jam itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man serta lebih 900 tetamu.
Terdahulu, keberangkatan tiba Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis disambut oleh Pengarah JPN, Rooslee Ismail dan pegawai kanan jabatan berkenaan.
Majlis diserikan dengan persembahan Orkestra gabungan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan pelajar institut pengajian tinggi yang bertunjangkan jati diri masyarakat peribumi dan bangsa serumpun.
Persembahan instrumental dan vokal yang secara harmonis digabungkan dengan elemen muzik tradisional, Kontemporari serantau melalui pengunaan peralatan muzik tradisional dan barat itu berjaya menghiburkan penonton.
Turut membuat persembahan ialah pelajar dan murid prasekolah dari Wilayah Satun di Selatan Thailand yang diundang khas serta murid pendidikan khas Perlis.
Pada penghujung persembahan konsert, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan gimik pelancaran 100 Tahun JPN Perlis yang akan disambut tahun depan. – BERNAMA