PEGAWAI pilihan raya mengira kertas undi di sebuah pusat mengundi di Istanbul, kelmarin.. |
Ankara - Rakyat Turki semalam keluar mengundi dalam pilihan raya yang dianggap paling penting sejak beberapa tahun lalu.
Ia diadakan ketika negara itu berdepan dengan peningkatan keganasan Kurdis dan militan Islam serta kebimbangan mengenai kemerosotan demokrasi dan kemelesetan ekonomi.
Pilihan raya semalam adalah yang kedua dalam tempoh lima bulan dan diadakan selepas Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan kehilangan majoriti di Parlimen pada pilihan raya Jun lalu, pertama kali dalam masa 13 tahun serta kegagalan untuk membentuk kerajaan campuran.
Kajian pendapat menunjukkan keputusan pilihan raya semalam tidak akan banyak beza dengan yang diadakan Jun lalu, mendedahkan negara majoriti penduduk Islam itu kepada ketidakstabilan lebih teruk.
Kira-kira 385,000 polis dikerah untuk mengawal keadaan di seluruh negara, khususnya di tenggara negara itu, kawasan majoriti Kurdis.
Landskap politik Turki berubah secara dramatik sejak Jun lalu dengan negara itu kelihatan lebih berpecah berdasarkan etnik.
AKP dijangka menguasai 40 hingga 43 peratus undi, membuka jalan kepadanya untuk membentuk sebuah kerajaan campuran dengan satu daripada tiga parti atau mengadakan satu lagi pilihan raya.
Tumpuan kini ialah terhadap Parti Demokratik Rakyat (HDP) yang mencatatkan sejarah Jun lalu apabila menjadi pergerakan pro-Kurdis pertama menduduki Parlimen dan pencapaiannya dalam pilihan raya semalam amat penting menentukan hala tuju negara itu.
Keputusan pilihan raya itu dijangka diketahui jam 2 pagi waktu Malaysia. - AFP