Rayyan Kini Berada Di Greece, Sedang Sibuk Bantu Pelarian Syria

Rayyan Harries
DIA pernah dibuang dari universiti dan ditamatkan biasiswa gara-gara silap percaturan dalam hidup.

Tidak cukup dengan itu dia pernah dibuang kerja, malah dihalau dari rumah sewa dan terpaksa menahan lapar kerana kehabisan wang.

Bertitik tolak dari itu, dia tidak putus asa dan nekad meneruskan hidup dengan tabah serta memasang niat untuk menyumbang kepada masyarakat dengan membantu golongan memerlukan.

Rayyan Haries, 25, seorang pemuda yang bukan sahaja berbadan besar tetapi berjiwa besar dalam membantu manusia yang memerlukan di seluruh dunia.


Selepas bangkit daripada kesusahan, Rayyan menggunakan wang yang disimpannya selama tiga tahun untuk mengembara sambil beramal di 15 negara.

Bermula dari Indonesia, dia mengembara sambil beramal di beberapa negara yang dilanda bencana seperti Filipina yang dilanda Taufan Haiyan, Jepun dan Nepal selepas dilanda gempa bumi.

Kini, Rayyan berada di Greece demi membantu pendatang Syria yang cuba masuk ke Eropah akibat konflik peperangan militan ekstremis IS di sana.


Dalam projek terbarunya yang bergelar ‘The Volunteer Cook’, Rayyan kini mengendalikan sebuah pondok dapur kecil demi membantu pelarian perang di Kepulauan Lesvos.

Menerusi kempen #Give50Cent, dia berharap dapat mengumpul 0.50 EURO (bersamaan RM2.50) untuk satu set hidangan makanan buat pelarian tersebut.

Dikatakan lebih 2,000 pelarian berkunjung ke pondoknya demi mendapat hidangan yang lazat, lebih-lebih lagi harga yang ditawarkan hanyalah sangat murah.


“These people have gone through the extreme. You know, it doesn’t take much to feed a person, I just want to cook for people (Mereka telah menempuhi pelbagai rintangan yang terlalu sukar dan bahaya untuk sampai ke sini, jadi tugas saya yang hanya memasak adalah kecil dan saya sangat suka memasak untuk manusia),” katanya.

Ditanya apakah perkara yang membawanya ke Lesvos, Rayyan memberitahu ianya adalah hasrat mempelajari seni masakan Itali di sana.

Dia bagaimanapun amat tersentuh dengan peristiwa seorang budak lelaki bernama Aylan Kurdi yang terdampar di pantai Turki akibat lemas sewaktu merintasi sempadan.

Menceritakan bagaimana dia memperoleh wang untuk menampung perbelanjaan pengembaraannya, dia memberitahu dana yang dikumpulnya adalah dengan melakukan kerja secara sambilan di setiap negara yang dilawati.


Ini termasuk melakukan kerja-kerja kampung seperti bekerja di kebun sayur, memetik buah dan menghasilkan artikel yang berkaitan dengan pelancongan.

“Contohnya saya ke India dan Nepal pada Julai lalu untuk melakukan kajian mengenai tempat-tempat menarik dan kerja sosial di sana.

“Saya diminta mengumpul maklumat mengenai perkara itu untuk sebuah organisasi di ibu negara dan pada masa sama, saya mengambil peluang untuk melakukan aktiviti sukarelawan untuk membantu masyarakat tempatan,” katanya.

Rayyan yang mempunyai ramai kenalan di seluruh dunia berpendapat, sekurang-kurangnya dia memanfaatkan kunjungannya ke negara lain dengan melakukan kerja amal. -Kedahnews.com