Rusia Lancar Serangan Terbesar Terhadap Kubu IS Di Deir Ezzor


Beirut - Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh kelmarin dalam serangan udara besar-besaran yang dilancarkan tentera Russia dan Syria di wilayah Deir Ezzor yang dikuasai kumpulan militan Negara Islam (IS).

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia untuk Syria berkata, angka korban itu yang terbesar di negara berkenaan sejak perang tercetus.

Russia melancarkan serangan peluru berpandu dari kapal perangnya di Laut Caspian selepas Presiden Vladimir Putin berikrar membalas dendam serangan pengganas yang menyebabkan sebuah pesawat Mesir terhempas bulan lalu.

“Sekurang-kurangnya 36 terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam lebih 70 serangan udara dilancarkan Russia dan Syria di beberapa lokasi di Deir Ezzor,” kata pengarah kumpulan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.

Rami menggambarkan serangan itu yang menyasarkan beberapa bandar besar dan pekan termasuk tiga telaga minyak sebagai terburuk di Syria sejak perang tercetus pada 2011.

KAPAL perang Russia di Laut Caspian melancarkan peluru berpandu yang disasarkan di wilayah Deir Ezzor, kelmarin
Sebahagian besar wilayah itu dan ibu kotanya kini dikuasai IS dan hanya sebuah lapangan terbang tentera serta beberapa lokasi yang masih dikuasai tentera kerajaan.

Russia mula mengebom Syria September lalu atas permintaan sekutu rapatnya, Presiden Bashar al-Assad.

Amerika Syarikat (AS) dan negara sekutunya juga melancarkan kempen udara berasingan terhadap IS.

Putin sebelum ini berjanji akan memburu dan menghukum pihak yang menyebabkan sebuah pesawat penumpang Mesir terhempas bulan lalu.

Kejadian itu menyebabkan semua 224 penumpang yang majoritinya warga Russia terbunuh.

IS mengaku bertanggungjawab meletupkan bom di dalam pesawat yang menyebabkan kapal terbang itu terhempas. - AFP