Sah Tiada "Gunting" Jadi Hidangan Pembuka Selera Di Majlis Makan Malam


Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengesahkan bahawa tiada sebarang gunting yang dihidangkan sebagai pembuka selera kepada tetamu dalam satu majlis makan malam yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, yang dihidangkan sebagai pembuka selera di majlis berkenaan adalah "Ceaser Salad" dan bukannya "Scissors Salad" atau "Salad Gunting" sebagaimana yang menjadi bahan lawak jenaka di laman sosial.

"Satu gambar telah tersebar luas di media sosial di mana 'scissors salad' telah dihidangkan semasa acara makan malam di Parlimen.

"Saya telah menghadiri majlis itu dan boleh mengesahkan bahawa tidak ada gunting dihidangkan dalam salad, hanya 'Caesar salad' biasa," jelas Datuk Ronald dalam satu kenyataannya, hari ini.

Sebelum itu, sekeping gambar menu majlis makan malam di Parlimen telah tersebar di Whatsapp dan beberapa laman sosial, sekaligus menjadi bahan lawak jenaka yang menggelikan hati ramai pihak.

Malah gambar berkenaan turut dikongsikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob di laman sosial beliau, baru-baru ini.


Bagaimanapun Ronald menjelaskan bahawa kesilapan melucukan dan tidak disengajakan itu dilakukan oleh pihak penyedia makanan, namun meminta pihak berkenaan supaya lebih berhati-hati pada masa yang akan datang.

"Walaupun ini adalah satu kesilapan yang lucu oleh katerer, tetapi sebagai sebuah institusi yang penting, kakitangan Parlimen perlu lebih berhati-hati supaya tidak lagi berlaku sebarang kesilapan. Hmm...salad gunting!" katanya.

Makan malam itu difahamkan dihadiri oleh para pegawai Parlimen dan Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan badan perundangan negara yang lain. -Kedahnews.com