Wan NorHasnita bersama suami, Nazil Nuhairi menunjukkan beberapa jenis aiskrim dihasilkan melalui perusahaan miliknya, Little Boss. |
BEKAS penolong penasihat undang-undang negeri, Wan NorHasnita Wan Daud, 37, nekad melepaskan jawatan tinggi dipegang pada Mei 2014 hanya demi aiskrim.
Meskipun, Wan NorHasnita berjawatan besar dan memiliki pendapatan besar, namun dia tetap nekad menceburi bidang perusahaan aiskrim bagi membantu suaminya, Nazil Nuhairi Ismail, 38.
“Meskipun, saya perlu mengambil risiko mengorbankan kerjaya tetap, hasilnya ternyata berbaloi.
“Malah, tindakan diambil setahun lalu benar-benar memberi kepuasan, apatah lagi kini memiliki lebih masa untuk anak-anak berbanding sebelumnya,” katanya.
Wan NorHasnita tidak menyesali keputusan diambil, biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran demi mencapai kejayaan untuk menjadi usahawan aiskrim muslim.
Pada peringkat awal, katanya, dia dan suami berdepan kesukaran dalam mencipta resipi tersendiri, seperti memastikan aiskrim tahan lama dan berkualiti.
“Selepas beberapa kali, kami berdua melalui fasa ‘try and error’, akhirnya aiskrim Little Boss dapat dihasilkan daripada bahan terbaik termasuk daripada air yang ditapis,” katanya.
Ternyata, kesungguhan ibu empat anak ini membuahkan hasil apabila dia kini memiliki ais krim jenama sendiri dikenali sebagai Little Boss sejak tahun lalu.
Dari hanya satu tong ais krim yang dimiliki mereka, kini Wan NorHasnita dan Nazil Nuhairi memiliki 13 tong untuk menjual aiskrim berkenaan dalam tempoh setahun perusahaan itu dibina.
Sehingga kini, sebanyak lima perisa aiskrim Little Boss dihasilkan pasangan suami isteri berkenaan di kediaman mereka di Taman Rakyat Mergong.
Antaranya termasuk kopi, coklat, vanila, jagung dan strawberi.
Terbaharu, katanya, mereka bakal mengeluarkan aiskrim minda yang mengandungi bahan-bahan seperti madu, kismis dan kurma untuk dinikmati orang awam.
Menurutnya, mereka berdua berhasrat mengembangkan lagi perniagaan aiskrim Little Boss tahun hadapan, termasuklah memasarkan produk mereka di kawasan sekolah.
Sumber: Sinar Harian