Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem |
KUCHING - Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik tetapi masih boleh hidup aman damai disebabkan sikap hormat-menghormati mereka yang tinggi dalam kalangan rakyatnya sejak dari dulu lagi kerana penduduknya sangat menghargai keamanan yang sedia ada dan ini boleh menjadi contoh terbaik kepada negara-negara di luar sana.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan Majlis Penutupan Rasmi Program Muktamar Keamanan Sejagat 2015 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
"Semua agama termasuk Kristian, Hindu, dan agama-agama lain sememangnya menginginkan keamanan dalam masyarakatnya walaupun masih juga wujudnya peperangan di luar negara, ini kerana selagi masih ada manusia yang tamak, selagi itulah peperangan tidak boleh dihentikan," katanya yang dipetik dari media tempatan Sarawak.
Adenan turut mengutuk mengenai serangan pengganas yang berlaku di Paris baru-baru ini dan apa berlaku adalah tidak berkaitan langsung dengan 'Islamophobia' iaitu bersikap prejudis kepada orang yang menganut agama Islam serta menyalahkan apa yang berlaku ada disebabkan orang Islam.
Professor Dr. Abdullah menghadiahkan cenderahati kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. |
Sementara itu, Ketua Setiausaha Liga Islam Dunia Professor Dr. Abdullah bin Abdulmuhsin Al-Turki berkata keganasan yang berlaku di sekarang adalah masalah antarabangsa dan ianya tidak berkaitan dengan apa-apa agama, bangsa, warna kulit atau kewarganegaraan.
"Agak menyedihkan terdapat beberapa individu dan kumpulan-kumpulan Islam yang juga melakukan tindakan keganasan, ini menyebabkan kemudaratan kepada semua penganut agama Islam serta memberi imej buruk kepada Islam di seluruh dunia.
"Persidangan Muktamar Keamanan Sejagat pentingnya dalam memberi kesedaran ajaran dan warisan keamanan sejagat bahawa keganasan adalah bukan tradisi Islam. Pendekatan bermula dalam menyampaikan kepada masyarakat terdahulu dan baru ia sampai ke seluruh dunia," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut Datuk Ir, Haji Daud Abdul Rahman dan Datu Haji Putit Matzen. -Kedahnews.com