Thien Nyuk Fun. |
KOTA KINABALU - Bagi Thien Nyuk Fun, 50, pengalaman buruknya berada dalam tebusan kumpulan Abu Sayyaf selama enam bulan sudah berakhir.
Apa yang wanita itu inginkan adalah untuk berehat di kediamannya yang terletak di Sandakan, Sabah.
Pengurus Restoran Makanan Laut Ocean King itu kini mengharapkan kehidupan yang lebih tenang selepas melalui penyeksaan diculik sekumpulan lelaki bersenjata dan dikurung di dalam hutan tebal di kepulauan Jolo, selatan Filipina.
Beliau dibebaskan pada tengah malam Ahad hasil perbincangan perunding dari Malaysia dan Filipina dengan kumpulan penculik mewakili keluarga tebusan.
"Dia kelihatan letih tetapi sihat.
"Dia hanya mahu berehat dan berada di sisi keluarganya," kata ahli keluarga wanita tersebut.
Thien mungkin belum bersedia untuk bercerita mengenai detik dia diculik memandangkan usaha untuk membebaskan seorang lagi tebusan, Bernard Then, 39, sedang giat dilakukan.
Bagaimanapun tidak diketahui mengapa Then tidak dibebaskan bersama dengan Thien walaupun rundingan itu yang memasuki peringkat akhir itu memakan masa lebih seminggu.
Thien dan Then diculik dari Restoran Ocean Seafood di Sandakan pada 15 Mei lalu.
Menurut sumber perisikan Filipina, wanita itu yang dilaporkan berada dalam tahanan Komander Abu Sayyaf, Indang Susukan, dibebaskan oleh seorang lagi komander Al Habsy dari kawasan Indanan di Jolo kira-kira pukul 11 malam Ahad.
Wanita itu dilaporkan dibawa pulang ke rumahnya selepas perjalanan selama lapan jam ke Sandakan menggunakan bot laju awal pagi Isnin.
Sumber: mStar