Serangan Di Paris: Kumpulan Anonymous Isytihar Perang Terhadap Militan IS

Kumpulan ‘Anonymous’
PARIS - Kumpulan penggodam internet yang menggelar diri mereka sebagai kumpulan ‘Anonymous’ dilaporkan telah mengisytiharkan perang terhadap IS selepas berlakunya insiden serangan di Paris pada Jumaat lalu.

Memetik laporan media antarabangsa, Mirror.co.uk, kumpulan itu telah memuatnaik video di YouTube dengan jurucakapnya yang bertopeng mengugut bahawa ‘Anonymous’ dari seluruh dunia bakal memburu IS.

"Anda patut tahu bahawa kami akan cari anda dan tidak akan melepaskan anda.

"Kami akan lancarkan operasi terbesar terhadap anda. Akan ada serangan siber besar-besaran. Bersedia.

“Orang Perancis lebih kuat dari anda dan akan keluar dari kekejaman ini lebih kuat,” katanya mendakwa akan melancarkan serangan terhadap kumpulan militan tersebut.

Kenyataan terkini dari Anonymous itu bukan ugutan pertama dari kumpulan penggodam ini terhadap IS.

Kumpulan tersebut sebelum ini pernah membuat ugutan sama pada Januari lalu selepas serangan Charlie Hebdo, syarikat akhbar yang menimbulkan kemarahan umat Islam kerana mencetak kembali karikatur Nabi Muhammad SAW pada sekitar tahun 2011.

IS dalam satu kenyataan mereka mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang meragut ratusan nyawa itu.

Media tempatan melaporkan bahawa sebanyak enam lokasi berasingan menjadi sasaran IS, termasuk stadium nasional hinggalah ke sebuah restoran piza di kota Perancis itu.

Antara kawasan yang dilapor menjadi sasaran kumpulan pelampau itu ialah dewan konsert Bataclaun, Stade de France, Rue de Charonne, Rue de la Fontaine au Roi, Restoran Casa Nostra dan Boulevard Voltaire. -Kedahnews.com