Serangan Paris: Safer Saksikan Depan Mata Detik 2 Mangsa Ditembak

Safer sedang bekerja di bar restoran Casa Nostra ketika serangan keganasan tercetus di Paris, pada Jumaat.
Detik-detik berlakunya serangan letupan di Paris Jumaat lalu, seperti biasa Safer sedang bekerja di bar restoran Casa Nostra dan langsung tak menduga, nyawanya mungkin melayang.

“Saya berada di dalam bar ketika terdengar bunyi ledakan dan dentuman yang sangat kuat. Semua orang mula menjerit dan kaca pecah. Mengerikan, kaca di mana-mana dan terkena pada muka semua orang.

“Saya lihat dua wanita ditembak depan bar, seorang di pergelangan tangan, seorang lagi di bahu. Mereka mengalami pendarahan yang banyak,” ujar Safer.

Meskipun keadaan berbahaya, Safer berasakan dia perlu menghulurkan bantuan. Justeru selepas tembakan berhenti seketika, dia segera berlari keluar untuk membantu dua wanita terbabit.

“Saya angkat mereka dan bawa ke ruang bawah tanah lalu berusaha hentikan pendarahan. Tembakan terus kedengaran, sangat menakutkan,” katanya.

Bagaimanapun pada masa sama, Safer mengakui dia dan wanita tersebut bersyukur kerana dapat berlindung di tempat selamat kerana sebaik keluar dari bar selepas usai serangan, mereka dapat lihat mayat-mayat bergelimpangan di jalan dan ramai orang cedera.

Dalam insiden berdarah Jumaat lalu, seramai 127 orang maut dalam serangan keganasan yang diakui oleh puak Militan Negara Islam (ISIS) selaku dalang yang bertanggung jawab melakukannya. –Kedahnews.com