Setia Dan Komitmen Lebih Penting Dari Saiz Parti Komponen

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak
KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan saiz sesebuah parti yang menjadi rakan kongsi dalam BN bukan keutamaan sebaliknya yang lebih penting ialah kesetiaan dan komitmen parti-parti komponen terhadap BN.

Perdana Menteri berkata atas prinsip berkenaan yang dipegang BN selama ini, membolehkan BN terus berkuasa sehingga Malaysia mampu mengharungi apa juga dugaan sama ada dalam masa susah dan senang.

“Saya sebagai Pengerusi BN bukanlah (melihat sangat) pada saiz (parti). Bagi saya saiz tidak penting, apa yang penting ialah kesetiaan dan komitmen anda. Di atas prinsip inilah negara kita mengorak langkah ke hadapan. Kita telah berjaya sama ada dalam keadaan yang memberangsangkan atau dalam keadaan yang mencengkam.

“Tetapi BN terus membuktikan bahawa inilah parti di mana rakyat boleh bergantung harap, melindungi kepentingan semua kaum, tidak kira kumpulan etnik ataupun agama. Payung BN bersifat inklusif dan komprehensif,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini, Ahad. Turut hadir Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman. – BERNAMA