Sheeda Luah Rasa Terkilan Faktor Umur Jadi Bahan Ejekan


PENYANYI dangdut era 90-an, Sheeda yang tersingkir dari program Gegar Vaganza (GV2) Ahad lalu mengakui, kecewa dan terkilan terhadap kritikan tidak membina yang diberikan juri kepadanya.

Menurut Sheeda atau nama sebenarnya, Rashidah Hamid, komen yang diberikan mengenai usianya tidak sepatutnya dijadikan bahan ejekan apatah lagi untuk diketawakan.

Sheeda yang meluahkan perkara itu menerusi laman Instagam, turut mempertikaikan sama ada program pertandingan itu berdasarkan vokal atau umur.

“Saya terima keputusan ini dengan hati yg terbuka tetapi terkilan dengan komen-komen yang diberikan oleh pihak juri.. saya menyertai @gegarvaganza_2015 atas semangat utk memeriahkan lagi industri muzik tanah air.

“Seringkali komen faktor usia menjadi bahan ejekkan dan ketawa terbahak-bahak.. berjuta rakyat Malaysia menonton melihat maruah saya diperlekeh sebegitu rupa.. saya bertanding atas dasar vokal atau umur?” tulisnya.


Bagaimanapun, Sheeda yang merupakan ibu kepada penyanyi Bienda tidak menyatakan gerangan sebenar juri yang dimaksudkan.

Namun, ramai dapat meneka bahawa kata-kata itu ditujukan kepada M. Nasir yang bertindak selaku juri yang memberi komen untuk Sheeda pada malam konsert itu.

Ada juga netizen yang menyifatkan komen yang diberi M. Nasir agak melampau dan tidak wajar.

Sementara itu, beberapa artis dilihat memberi kata-kata sokongan kepada Sheeda menerusi ruangan komen Instagramnya. –Kedahnews.com