Siar Berita Palsu, Portal Malaysiakini Disiasat SKMM, PDRM


PETALING JAYA - Ketua pengarang dan pengarang berita Malaysiakini disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta polis di pejabat portal berita itu di sini pada Jumaat.

Difahamkan, siasatan itu dibuat berikutan laporan berkaitan perpindahan timbalan pendakwa raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Dalam laporannya, Malaysiakini mendakwa, seramai 10 pegawai dan anggota SKMM serta polis telah merekod keterangan pengarang tersebut.

Pada Isnin lalu, portal berita pro-pembangkang itu melaporkan seorang pendakwa raya SPRM yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting secara mengejut dipindahkan serta-merta.

Malaysiakini dipetik berkata pegawai itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi.

"Beliau sebelum ini, ditahan oleh pihak polis pada awal pagi 1 Ogos lalu dan ditahan di sebuah lokap serta rumah dan pejabatnya digeledah.

"Pemindahannya menjadi tanda-tanya kerana peminjaman Ahmad Shazalee ke SPRM baru sahaja dilanjutkan pada pertengahan tahun ini dan sepatutnya berkuatkuasa sehingga 2017.

"Bagaimanapun, Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali pada surat bertarikh 14 Oktober mengarahkan Ahmad Shazalee melaporkan diri pada hari berikutnya," lapor portal berkenaan.

Dalam laporan itu Malaysiakini melaporkan SPRM hanya menerima surat arahan pemindahan itu pada hari Jumaat (30 Oktober) lalu.

Apandi bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa Shazalee dipindahkan dan berkata berita Malaysiakini berkaitan perkara itu adalah palsu.

Sumber: mStar