Sifu Pamer Aksi Memukau Di Konsert Kemuncak M. Nasir Kembara

Komposer dan penyanyi lagenda, Datuk "Sifu" M. Nasir
SHAH ALAM - Penyanyi, Datuk M.Nasir ternyata mempunyai aura tersendiri apabila berjaya memberikan persembahan mantap dan bertenaga konsert kemuncak jelajah M. Nasir Kembara yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, malam Sabtu.

M.Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, yang berusia 58 tahun itu juga mampu menyanyi, menari tanpa rehat dan minum air sepanjang 2 jam setengah persembahan di hadapan 10,000 penonton.

Konsert jelajah M Nasir Kembara bermula pada Mei lalu di Kuantan, Pahang, Pasir Gudang, Johor dan Kepala Batas, Pulau Pinang turut mendapat sambutan hangat.


Konsert dibuka kira-kira pukul 9 malam dengan persembahan nyanyian artis undangan Fynn Jamal dengan empat buah lagu popularnya iaitu Suatu Pernah, Sepertinya, Tahu, Terbang Tunduk dan Arjuna Beta.

M.Nasir yang muncul dengan lagu pertama berjudul Rajawali Terbang Tinggi kemudian menyanyikan 20 buah lagu popular sepanjang 40 tahun penglibatanya dalam industri muzik tanah air.

M.Nasir menunjukkan skil melukis pada konsertnya. Foto NAZGHOUL MEPORTAL
Selain itu, pemilihan lagu menarik dan diiringi pemuzik hebat menjadi faktor persembahan M Nasir malam itu akan terus diingati oleh peminat-peminat tegarnya.

Antara lagu yang dinyanyikan Apokalips, Tanya Sama Itu Hud Hud, Juwita, Bonda, Mustika, Hijab Kekasih, Raikan Cinta dan Phoenix Bangkit Dari Abu.

Beliau turut menyanyikan lagu-lagunya ketika bersama kumpulan Kembara iaitu Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Gerhana dan Keroncong Untuk Ana.

Fynn Jamal, sebagai penyanyi jemputan Konsert M.Nasir. Foto NAZGHOUL MEPORTAL
Peminat yang pada awalnya duduk di kerusi masing-masing mula berkumpul di hadapan pentas bagi memberi semangat dan melihat persembahan M Nasir dengan lebih dekat.

M Nasir kemudian menutup persembahan kira-kira pukul 12 malam dengan lagu popularnya Ada dan Semerah Padi. 

Sumber: mStar