Sokong Usul BN, Adun DAP Pulau Pinang Bertindak Letak Jawatan

Adun (DAP) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerima tamparan hebat apabila seorang Ahli Dewan Undangan (Adun) DAP di negeri tersebut secara terhormat bertindak meletak jawatan ekoran pendiriannya yang bercanggah dengan beliau.

Adun (DAP) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu semalam meletak jawatan sebagai Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang dan berkuatkuasa pada Ahad ini.

Dilaporkan bahawa perletakan jawatan tersebut telah dimaklumkan menerusi e-mel yang dialamatkan kepada Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dan Setiausaha DAP Negeri, Lim Hui Ying, semalam.

Menurut sumber, surat perletakan jawatan Yee Cheu itu memaklumkan parti bahawa dia mengambil keputusan meletak jawatan atas sokongannya terhadap usul berkaitan penambakan tanah di Dewan Undangan Negeri pada 20 November.

Pada Jumaat lalu, usul yang dibentangkan oleh Adun (BN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) menarik perhatian apabila Yee Cheu mengundi bersama-sama dengan semua sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang hadir di sidang DUN berkenaan.

Malah lebih mengejutkan apabila seramai lima orang Adun PKR bertindak berkecuali berhubung usul berkenaan sehingga menyebabkan Guan Eng terpaksa mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan rakan sekutu Pakatan Harapan di Pulau Pinang itu.

Membalas kenyataan Guan Eng itu, PKR kemudiannya membidas Setiausaha Agung DAP itu dengan menegaskan bahawa Adun-Adun PKR di Pulau Pinang itu berhak untuk membuat keputusan masing-masing.

Kemelut berkenaan masih berlarutan sehingga kini menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak terhadap kepimpinan Ketua Menteri DAP di negeri berkenaan yang disifatkan sebagai 'pilih kasih' dan 'cakap tidak serupa bikin'. -Kedahnews.com