SPAD Beri Anugerah Khas Kepada Pemandu Teksi Hantar Pulang Mangsa Culik

Pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi
KUALA LUMPUR – Pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi yang menghantar pulang mangsa culik berusia lima tahun pada Oktober lepas, menerima anugerah Kategori Khas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau diberikan anugerah itu kerana kejujuran dan keprihatinannya menghantar pulang kanak-kanak berkenaan yang menjadi mangsa culik di Sungai Chua, Kajang dekat sini setelah menemui mangsa bersendirian di tepi jalan.

Hanizan, yang berusia 42 tahun; kemudian segera bertindak menghantarnya pulang ke rumah keluarga kanak-kanak tersebut setelah mengecam gambarnya yang sebelum itu menjadi viral menerusi media sosial.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar menyampaikan anugerah tersebut kepada Hanizan pada majlis di sini malam Selasa, dan ia merupakan antara tiga anugerah baharu yang diperkenalkan.

Dua lagi ialah Anugerah Terminal Pengangkutan Awam dan aplikasi “Meter-On Ratings“.

Antara pemenang lain ialah Sani Limited Berhad (kategori bas ekspress), Handal Indah Sdn. Bhd. (kategori bas henti-henti), Colombia Leisure (kategori bas persiaran), Rapid Rail Sdn. Bhd. (kategori penyedia jalan kereta api) dan KTM Berhad (kategori inovasi perkhidmatan kereta api).

Syed Hamid dalam ucapannya turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas komitmennya mewujudkan SPAD untuk mengendalikan transformasi pengangkutan awam di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Majlis itu diadakan bersempena simposium Pengangkutan Awam Darat yang bertajuk ‘Journey into the Future: Building People Centric Mobility’ yang akan diadakan pada Rabu. – BERNAMA