SPM, STPM Akan Diteruskan Walau Banjir, Jerebu Kembali Melanda

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengedarkan topeng penutup hidung kepada calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) kembali pada tahap tidak sihat semasa musim peperiksaan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kalamanthan berkata ini kerana tarikh kedua-dua peperiksaan besar itu tidak boleh sewenang-wenangnya diubah kerana ia melibatkan tenaga kerja yang ramai dan telah dirancang dengan teliti sejak sekian lama.

“Kami tidak bercakap mengenai menangguh peperiksaan tetapi sekiranya sampai tahap 500 IPU dan darurat…(tetapi) kami tidak mengharap ia berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, hari ini.

Beliau berkata selain kepada calon-calon peperiksaan, topeng berkenaan juga akan dibekalkan kepada kira-kira 40,000 petugas.

Kamalanathan berkata kementerian juga akan memastikan calon di negeri yang berkemungkinan dilanda banjir dapat menyelesaikan peperiksaan dalam masa yang ditetapkan dan persiapan awal telah dibuat bagi menghadapi kemungkinan itu.

“Sebagai contoh sekolah dinaiki air, kita akan memastikan peperiksaan dijalankan di aras yang lebih tinggi, kita juga akan bekerjasama dengan jabatan bencana yang telah diwujudkan untuk memastikan peperiksaan berjalan lancar,” katanya.

Kira-kira 440,000 calon SPM serta hampir 45,000 calon STPM menduduki peperiksaan pada tahun ini yang dijalankan serentak bermula hari ini. – BERNAMA