SPRM Bebas Pengarah, Pengawai Jabatan Kerajaan Dengan Jaminan

Gambar Hiasan
MELAKA - Seorang pengarah dan seorang pegawai jabatan kerajaan di negeri ini yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes berkenaan tuntutan palsu dan suapan, telah dibebaskan semalam setelah keterangan mereka direkod.

Pengarah SPRM Melaka, Ramli Ismail ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pengarah dan pegawai itu dibebaskan dengan jaminan SPRM masing-masing dengan wang jaminan sebanyak RM10,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin setiap satu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai waktu mereka dibebaskan atau maklumat lain kerana kes tersebut masih dalam siasatan SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bernama semalam melaporkan seorang pengarah dan seorang pegawai sebuah jabatan kerajaan di sini ditahan SPRM bagi membantu siasatan mengenai kes tuntutan palsu dan menggunakan kedudukannya bagi memperolehi suapan.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Naim Abu Bakar meminta semua pihak memberi ruang kepada SPRM menyiasat kes tersebut dengan sebaiknya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota pentadbiran kerajaan yang terlibat dalam apa juga bentuk kegiatan yang menyalahi peraturan dan undang-undang.

"Jika ada sebarang salahlaku dibuat, bidang kuasa SPRM akan mengambil tindakan. Jadi saya menasihati semua penjawat awam supaya lebih mementingkan integriti, lebih telus menjalankan tugasan harian.

"Tanggunjawab kita ini adalah menanggung amanah yang dilaksana sebaik mungkin dan perkara begini boleh menjejas integriti kita sebagai penjawat awam, kerajaan, amanah diberikan dan sebagainya," katanya.

Sumber: mStar