Suami Merajuk Telefon Bomba Mahu Terjun Dari Tingkat 15 Di Melaka


Seorang lelaki berusia 57 tahun bertindak menelefon bomba memaklumkan dia mahu terjun dari tingkat 15 sebuah apartmen di Bandar Hilir, Melaka,baru-baru ini.

Lelaki yang merupakan bekas anggota tentera ini menelefon bomba kira-kira jam 12 tengah malam selepas dia gagal menghubungi isterinya.

Memetik dari laporan Sinar Harian, bapa kepada tiga anak ini berbuat demikian kerana mempunyai krisis rumah tangga dan berasa sunyi selepas isterinya berusia 50-an tidak pulang ke rumah.

Timbalan Penguasa Bomba (Bahagian Operasi) negeri, Kamarulzaman Mohd. Din berkata, selepas dimaklumkan, sebuah jentera dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Respon Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu bersama 15 anggota termasuk unit khas dikerah ke lokasi kejadian.

Menurutnya, lelaki itu berjaya diselamatkan selepas dipujuk hampir tiga jam dengan kerjasama polis, ahli keluarga dan pengurusan bangunan berkenaan.

"Ketika proses memujuk, lelaki tersebut turut meluahkan perasaan kepada isterinya, selain memarahi tiga anaknya. 

"Operasi menyelamat tamat pukul 2.40 pagi," katanya. –Kedahnews.com