Baginda bertitah mesej Islam yang sebenarnya harus diperjelaskan bagi menangani fahaman ekstremis Islam.
“Ini susulan tindakan kumpulan militan IS atau anggota-anggota ‘Daesh’ yang membunuh orang awam tidak berdosa atas nama jihad di Paris dan Mali minggu lepas.
“Sesungguhnya mereka telah sesat dan amat malang sekali, mereka kini jauh menyimpang daripada jalan pertengahan,” titah baginda semasa melancarkan buku ‘The Middle Path of Moderates in Islam’ karya Profesor Mohammad Hashim Kamali di sini, hari ini.
Buku itu mengkaji konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan, menghalusi definisi dan skop daripada sumber-sumber asas Islam, Al-Quran dan Hadis.
Seramai 129 teerbunuh dan 352 cedera apabila pengganas menyerang beberapa tempat termasuk restoran, dewan konsert dan stadium sukan di Paris.
Sultan Nazrin bertitah Al-Quran menekankan tentang ‘pendekatan pertengahan dan kesederhanaan sebagai kebaikan moral yang relevan bukan sahaja kepada kelakuan peribadi individu tetapi juga dalam masyarakat negara-negara di dunia’.
“Walaupun dirahmati Tuhan dan memberi manfaat yang jelas kepada umat manusia, pendekatan secara sederhana sering diabaikan dan ia bersifat elusif dan sukar untuk dicapai, sama ada dalam ketaatan kita kepada agama, tingkah laku peribadi ataupun dalam hubungan dengan orang ramai dan masyarakat.
“Bagi saya, di sinilah terletaknya cabaran utama – tingkah laku sebenar diri kita, pemimpin kita, dan komuniti kita dan negara kita,” titah baginda. – BERNAMA